Ikan Tenggiri

Ikan Patin

Ikan tenggiri, saya rasa semua orang tahu apakah ikan tenggiri ini. Di Malaysia ikan tenggiri merupakan salah satu hidangan istimewa serta mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran. Bagi pemancing pula, ikan tenggiri merupakan salah satu sasaran wajib ketika memancing di laut. Ini kerana ikan tenggiri mampu memberi perlawanan hebat kepada pemancing. Ikan yang di gelar torpedo laut ini banyak terdapat di perairan kita. Lambakan ikan kembung, sardin, bilis, selar dan sotong di perairan negara kita menyebabkan ikan ini banyak terdapat di negara kita.

Ikan tenggiri sebenarnya terdapat pelbagai spesis dan terdapat diseluruh dunia. Rupanya dan saiznya hampir sama dan amat sukar dibezakan. Di Malaysia, ikan tenggiri yang mendiami perairan laut kita ialah dari jenis Indo-Pacific king mackerel (Scomberomorus cavalla). Ikan tenggiri ialah spesis ikan yang bermigrasi setiap tahun. Kumpulan ikan ini akan bermigrasi beribu-ribu kilometer sehingga lautan Atlantic, Gulf Mexico, South China Sea, Andaman Sea, lautan Pacific semata-mata untuk mencari kumpulan ikan sebagai sumber makanannya.

Ikan Siakap

Ikan Patin Mekong

Ikan siakap atau turut dikenali dengan panggilan kakap putih merupakan ikan muara yang berupaya hidup di air masin mahupun air tawar. Ikan yang turut popular dengan nama globalnya barramundi amat terkenal di Australia. Malahan perkataan barramundi merupakan kata pinjaman dari sejenis bahasa di Queensland yang bermaksud ‘ikan sungai sisik besar’. Barramundi juga sebenarnya merujuk kepada ikan Saratoga dalam bahasanya.

Lates calcarifer merupakan nama saintifik atau nama Latin bagi spesies ini. Spesies ini merupakan ikan katadromous dalam keluarga Latidae. Taburan spesies ini agak meluas terutamanya di kawasan perairan Indo-West Pacific. Taburan ikan siakap boleh ditemui di pinggir timur Teluk Gulf sehingga ke China, Taiwan, selatan Jepun, selatan Papua New Guinea dan selatan Australia.

Selain itu, kawasan perairan Asia Tenggara juga merupakan kawasan taburan spesies ini. Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ini kerana Malaysia dikelilingi oleh perairan yang panjang. Tidak hairanlah, kaki pancing di Malaysia cukup sinonim dengan spesies ikan ini. Antara kawasan yang sering menjadi tumpuan peminat siakap tertumpu pada bahagian muara dan tempat pertemuan laut dan sungai.

Ikan siakap merupakan spesies ikan yang mempunyai toleransi salitini yang sangat tinggi. Toleransi saliniti ini membawa maksud kepada daya toleran spesies ini terhadap sifat saliniti air atau kemasinan air. Jadi, ikan siakap mampu hidup dalam keadaan air masin atau air tawar. Toleransi saliniti yang tinggi memberikan kelebihan kepada spesies siakap dalam memilih habitatnya.

Ikan siakap mempunyai bentuk badan yang memanjang dengan mulut condong yang besar. Bahagian rahang atas spesies ini memanjang sehingga ke bahagian belakang mata. Bahagian pipi atau operkulumnya mempunyai duri kecil yang mampu melukakan. Sementara itu, sisiknya pula dalam kategori ctenoid. Kepalanya pula melengkung ke bawah. Selain itu, ikan siakap mempunyai sisik yang agak besar. Sisik pada badannya berwarna perak di mana mungkin boleh menjadi semakin cerah atau semakin gelap mengikut keadaan persekitaran habitatnya.

Barramundi merupakan spesies ikan demersal yang biasanya tertumpu di kawasan muara, lagun dan sungai. Spesies ini boleh hidup dalam keadaan air yang jernih sehingga kepada keruh dalam lingkungan suhu air 26°C-30°C. Siakap juga merupakan spesies ikan katadromous iaitu bersifat migrasi dari kawasan air tawar ke air masin untuk melepaskan telurnya.

Siakap menjadikan moluska, krustasea dan ikan kecil termasuk spesiesnya sendiri sebagai diet makanannya. Jadi ikan siakap boleh dikategorikan sebagai pemangsa yang bersifat karnivor. Ketika bermula musim monsun, siakap jantan akan masuk ke muara untuk mencari pasangannya untuk pembiakan. Ketika ini ikan siakap betina mampu menghasilkan sehingga beberapa juta telur untuk dilepaskan.

Siakap juga merupakan spesies ikan yang bersifat hermaphroditic di mana mampu untuk bertukar jantina ketika musim mengawan. Kebanyakan spesimen siakap dewasa yang ditemui merupakan spesimen betina. Selepas melepaskan telurnya, induk siakap tidak akan menjaga telur atau anak yang akan menetas.

Ikan Kerapu

Ikan Patin Mekong

Ikan Kerapu (Grouper) adalah antara ikan paling popular di negara kita, tak kira di mana sahaja pasti terdapat peminat ikan kerapu ini. Permintaan yang tinggi terhadap spesis ikan serta harga yang tinggi dipasaran di Malaysia telah membuatkan pemancing sentiasa memburu ikan ini. Pemancing sanggup meredah lautan lepas selama berhari-hari semata-mata untuk memancing ikan kerapu ini yang mempunyai rasa yang lazat apabila di jadikan hidangan.

Kita sebenarnya di Malaysia amat bertuah kerana taburan ikan kerapu banyak di perairan negara kita. Oleh kerana itulah ikan kerapu amat mudah dipanciing dimana-mana kawasan air masin dan muara sungai di negara kita. Ikan kerapu sebenarnya mempunyai banyak jenis dan hanya beberapa jenis sahaja yang menjadi buruan pemancing. Setiap spesis juga mempunyai nilai harga yang berlainan bergantung kepada permintaan. Di sini saya ingin berkongsi kepada pengunjung maklumat tentang ikan kerapu di negara kita.